Hartanah lelong menjadi salah satu cara yang lumayan untuk mengambil alih aset di bawah nama anda. Harga hartanah lelong biasanya lebih rendah daripada harga pasaran dan berpotensi menjadi pembelian yang berbaloi. Walau bagaimanapun, tiada satu pun pelaburan yang bebas daripada risiko, jadi anda harus sedar akan perangkap yang mungkin wujud sekiranya anda ingin membeli hartanah lelong. Mari kita lihat beberapa contoh yang berkaitan.

1. Proses

Kelayakan
Anda mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk layak membeli rumah lelong.
Proses
Anda boleh mendaftar sebelum atau pada hari lelongan. Anda perlu menyediakan cek juruwang atau bank draf bersamaan dengan 5% (lelongan Loan Agreement Cum Assignment-LACA) atau 10% (Bukan lelongan LACA) daripada harga simpanan hartanah yang anda ingin bida. Anda harus tiba 30 minit sebelum lelongan jika anda bercadang untuk berdaftar pada hari lelongan.
Selepas pendaftaran anda boleh mula membida hartanah yang anda ingin beli. Jangan bersikap terburu-buru dan membida lebih daripada had awal tetapkan.
Pembida yang menang perlu menandatangani Kontrak Jualan dan membayar  5% atau 10% daripada harga tawaran terakhir terdahulu, dan selesaikan baki dalam tempoh masa yang tertentu (biasanya dalam 3 bulan).
Dalam kebanyakan kes, jumlah tersebut lebih besar daripada deposit berdasarkan harga simpanan, jadi bawalah bersama-sama buku cek anda dan bersedia untuk membayar lebih.

2. Kebaikan

Faktor utama yang menggalakkan pembeli untuk membeli hartanah lelong ialah harga yang lebih murah daripada harga pasaran. Pembeli berpeluang menjimatkan sehingga 20% daripada harga pasaran. Terdapat kes-kes di mana hartanah tidak mempunyai harga simpanan (harga reserve), dan tawaran tertinggi akan memenangi bidaan. Jika bidaan tersebut menghadapi sedikit persaingan sahaja, anda akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi bidaan tersebut.
Kelebihan kedua ialah anda dapat memiliki harta yang dengan cepat kerana kebanyakan prosedur seperti penilaian biasanya telah dilakukan. Selain itu, selepas perjanjian ditandatangani, kedua-dua pihak secara kuatkuasa undang-undang terikat untuk menjalankan transaksi, justeru menghalang penjual daripada menerima tawaran yang lebih tinggi daripada pihak lain pada masa hadapan.

3. Keburukan

Ketidakpastian
Pembida biasanya tidak dibenarkan untuk melihat bahagian dalaman bangunan. Pemilik baru berisiko menanggung sejumlah wang yang besar untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh pemilik sebelumnya.
Bayaran Tidak Dijelas
Bil utiliti, cukai dan penyelenggaraan yang tertunggak biasanya akan ditanggung oleh pemilik baru. Inilah sebabnya kita tidak menggalakkan pembeli untuk membida lebih daripada had toleransi awal mereka; untuk meletakkan sebahagian wang sebagai persediaan untuk membiayai kerosakan dan apa-apa yuran tertunggak.
Rumah Berpenghuni
Memandangkan hartanah lelong tidak dijamin dengan kekosongan penghuni, rumah itu mungkin diduduki (oleh pemilik sebelumnya atau penyewa). Setelah pembelian itu dilakukan, masalah-masalah ini menjadi tanggungjawab anda.

4. Panduan dan tip

Terdapat beberapa tips asas yang anda boleh lakukan untuk menghindari atau mengatasi masalah jika anda berminat untuk membeli hartanah lelong.
  • Periksa hartanah tersebut terlebih dahulu dengan memperhatikan keadaan luar hartanah itu dan lihat sama ada terdapat penghuni yang menduduki rumah itu. Jika boleh, minta kebenaran penghuni tersebut (jika ada) untuk melihat bahagian dalamam rumah itu, atau minta jiran rumah yang mempunyai susun atur yang sama  untuk menunjukkan rumah mereka (bersedia untuk menerima layanan yang kurang mesra). Cuba gali maklumat daripada jiran-jiran tentang sifat pemilik sebelumnya.
  • Buat pertanyaan kepada pejabat pengurusan untuk mengetahui yuran penyelenggaraan tertunggak. Pendedahan maklumat daripada pihak pengurusan tidak sukar kerana mereka biasanya mengalu-alukan orang yang berpotensi menjadi bakal pemilik untuk menjelaskan yuran lewat tersebut.

Kesimpulan

Selain daripada ketidaktentuan yang tersembunyi, pembeli hartanah lelong juga menghadapi cabaran yang sama seperti mana-mana pembeli rumah seperti masalah mendapatkan pinjaman perumahan, penilaian yang lebih rendah dan kos pendahuluan yang lebih tinggi. Kami menggalakkan pembeli untuk menjalankan kajian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada kelebihan membeli hartanah lelong melebihi masalah yang mungkin timbul. Selain itu, mencari keuntungan melalui cara “flipping” dalam hartanah lelong biasanya merupakan aktiviti untuk pelabur berpengalaman dan bukannya untuk pembeli rumah kali pertama. Jadi fikirlah masak-masak sebelum mengambil keputusan.